Masa Itu Nyawa Pinjaman Allah

Monday, January 2, 2012

Wahai MELAYU mari kita renungkan sejenak


Melayu  & Malaysia Hari Ini
  
Saya ingin sentuh sedikit dalam konteks apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini.Rasuah dan politik wang sememangnya berleluasa dalam kerajaan.Subsidi kepada rakyat makin berkurang sedangkan kerajaan bertanggungjawab atas kebajikan rakyat kerana kerajaan dibayar cukai oleh rakyat dan rakyat berhak mendapat subsidi.Pengurangan subsidi ini ditutup dengan istilah 'penyelarasan harga'.Padahal sebenarnya harga diselaras untuk mengurangkan subsidi,jadi kantung pihak-pihak tertentu dapat diselaraskan ke tahap maksimum manakala kantung rakyat diselaras ke tahap menyedihkan.Ketika Malaysia heboh berkenaan video seks Anwar Ibrahim,harga minyak 'diselaraskan' secara bertahap sedikit demi sedikit.Tetapi rakyat marhaen tidak sedar.Apabila minyak naik,maka majoriti barangan harian akan naik,sehingga yang tiada kaitan juga akan naik atas alasan kos pengangkutan.Sekiranya barangan naik tidak terkawal,maka ia akan sampai ke tahap inflasi,rakyat terpaksa membeli barangan yang sama dengan nilai wang lebih tinggi.Kos hidup akan naik.Emosi akan naik.Orang yang lapar adalah orang yang panas baran.Pihak kerajaan kena fikirkan tentang ini dan bilakah masanya rakyat yang lapar ini perlu diberi gula-gula untuk menenangkan mereka.

Bayangkan seorang bapa muda yang mempunyai 3 orang anak,hanya bekerja sebagai posmen atau pekerja kilang mahu menyara kehidupan anak beranak dikala harga gula meningkat kepada RM2.40 sekilogram.Barangan dapur,ikan dan sayur perlu dibeli.Dengan pendapatan hanya sekitar RM1300,ia adalah pengalaman yang mengerikan.Ada menteri yang bijak menyarankan rakyat marhaen bercucuk tanam di belakang rumah.Ada menteri yang pintar menyuruh mengurangkan gula dalam minuman,menambahkan manis dalam senyuman.Ini adalah pendapat yang menyakitkan hati.Adalah disyorkan menteri-menteri tadi dikurangkan pendapatan sehingga sekitar RM1300 sebulan selama beberapa tahun.Adakah mereka hidup dalam keadaan tersenyum-senyum dengan bermanis muka selepas itu?Mungkin mereka membantah kerana mereka sepatutnya mendapat pendapatan yang setimpal dengan pendidikan mereka,namun jika mereka memilih untuk menjadi menteri yang menjaga rakyat dan negara,MEREKA SEBENARNYA PERLU BERSEDIA UNTUK MENJADI HAMBA DAN BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT.Bukan berlagak sombong dan memberi pendapat yang menyakitkan hati.

Fitnah yang berleluasa jika tidak dibendung akan memusnahkan sesuatu bangsa dan peradaban.Jika Perdana Menteri kita,DS Najib Tun Abdul Razak dituduh membunuh Altantuya Shariibuu,maka ketua pembangkang,DS Anwar Ibrahim pula dituduh dengan tuduhan meliwat Saiful Bukhari dan kini berzina dengan pelacur China.Apabila pemimpin-pemimpin Islam sebegini tidak digambarkan dengan imej yang baik,bagaimana mereka mahu memimpin rakyat,apabila terganggu dan sibuk dengan fitnah yang menempek ditubuh mereka?Tidak penting sama ada mereka bersalah atau tidak,apa yang ditekan di sini,budaya fitnah memfitnah ini tidak baik untuk 'kesihatan' umat Islam.Disarankan Najib dan Anwar mengamalkan membaca surah Kahfi pada setiap Jumaat:
Dari Ali r.a berkata: “Barangsiapa membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan terhindar dari segala fitnah sehingga lapan hari yang akan datang walaupun dajjal keluar, dia akan terhindar daripadanya.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Isteri Perdana Menteri juga tidak terlepas dari bermacam 'fitnah'.Pembaziran wang rakyat yang dilakukannya jika tidak dikawal akan menyebabkan beliau berpotensi menjadi 'Imelda Malaysia'.Alangkah baiknya jika wang itu disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukan.Negara tidak memerlukan 'Imelda'.Kita memerlukan wanita seperti isteri Khalifah Umar Abdul Aziz yang menyerahkan segala perhiasannya kepada Baitulmal untuk keperluan negara.

Perseteruan antara Pas-UMNO mesti ditamatkan.Tidak kisah Pas dan UMNO berbeza pendapat dalam politik namun diluar politik mereka perlu menunjukkan contoh umat Islam yang bersaudara.Lihat bagaimana Allahyarham Fadzil Noor yang sepentas dengan Tun Mahathir suatu ketika dahulu.Mereka berjabat tangan dengan senyuman mesra.PKR dilihat terlampau lembik untuk menangani DAP.Namun PKR masih penting untuk 'check and balance'.Tetapi jika silap langkah,PKR akan 'checked' dan hilang 'balance'.Pas tiada keperluan untuk menyertai Pakatan Rakyat.Pas boleh berdiri sendiri sebenarnya.Pas sepatutnya menjadi pemimpin dalam Pakatan,bukannya dipimpin oleh DAP dalam Pakatan.Jika tidak ada calon yang kompeten atau segan memimpin,sekurang-kurangnya Pas bertindak menjadi 'penasihat hal-ehwal Ugama Islam' kepada DAP,bukan dibuli oleh DAP.

Setelah lama berkawan dengan Pas,sepatutnya DAP lebih faham sensitiviti umat Islam,seperti mana Golden Horde dan Ilkhan yang memeluk Islam setelah lama bercampur dengan umat Islam.DAP sepatutnya ke arah lebih memahami agama Islam,bukan makin keliru dan mengelirukan diri sendiri.Pas kena perhatikan baik-baik perkara ini.Usahakan untuk dakwah kepada DAP tentang Islam,jangan takut.Jika ego dengan UMNO sampai segan mahu cakap kebesaran Allah,kenapa tidak dengan DAP?Sekular dan Komunis sama sahaja.Tetapi hati orang yang pernah masuk kalimah Lailahaillallah adalah lebih mudah untuk lembut jika diajak ingatkan Tuhannya.Ajak saudara UMNO datang ke masjid solat berjemaah.Kurangkan cakap pasal politik dahulu.Lembutkan hati mereka dengan kelebihan dalam Islam dan sistemnya.Layan mereka dengan baik dan mesra.Bila mereka baling batu,balas kembali dengan buah-buahan.

Bila mereka dekat dengan Tuhan mereka,mereka pasti akan menurut perintah-Nya tanpa perlu disuruh-suruh.Percayalah.

Hari ini usaha nabi s.a.w telah terpecah-pecah.Ada gerakan yang mengusahakan politik Islam namun usaha dakwah ditinggalkan.Ada jemaah yang mengusahakan dakwah,namun fiqh Jinayah atau bab kenegaraan Islam diabaikan.Ada pertubuhan yang mengusahakan bangkitnya sistem Khalifah,namun usaha paling asas untuk ajak manusia ke masjid dan tingkatkan iman tercicir dari agenda.Nabi s.a.w bukan datang ke Madinah terus bercakap pasal khalifah,nabi s.a.w bina masjid dahulu.Alangkah baiknya jika semua usaha nabi ini bergabung dalam satu gerakan.Nabi Muhammad s.a.w disamping ajak manusia kepada agama,beliau berhijrah dan menulis Piagam Madinah,perundangan pertama negara Islam Madinah.Baginda turut serta dalam usaha dakwah dan jihad;kedua-duanya adalah usaha di jalan Allah.Nabi s.a.w perintis kepada kekhalifahan Islam,namun pada masa yang sama istiqamah dalam mengusahakan dakwah ke masjid dan usaha atas iman masing-masing.Sesungguhnya nabi adalah sebaik-baik contoh,mengapa masih ada manusia yang berbalah sesama sendiri dan ego dalam mempertahankan prinsip nafsu sendiri?

Umat Melayu Nusantara selama ini berjaya memainkan peranan sebagai pembantu agama yang mulia ini.Ketika era penyebaran Islam,raja-raja Melayu melayan dan menyambut baik para pendakwah dari kalangan Ahlu Bait dan para generasi Sahabat nabi.Kita tidak pernah mendengar raja-raja Melayu menghalau atau membunuh para pendakwah Arab ini.Kemudian raja-raja Melayu menyebarkan Islam sehingga ke Filipina.Jika kita belajar sejarah Wali Songo,kita akan lihat percampuran darah dari Arab,Parsi ,Champa,Melayu Kelantan hingga ke Jawa.Hasilnya seluruh Nusantara menerima hidayat Ilahi.Bukti penyebaran Islam oleh orang-orang Melayu ditampilkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai antara 3 bahasa penting penyebaran agama Islam.Dua bahasa lain ialah Arab dan Parsi.Bahasa Melayu juga antara bahasa yang wajib dipelajari oleh para sarjana Islam terutamanya di Asia Tenggara kerana banyak kitab dan karya agama ditulis dalam bahasa Melayu.

Kini apabila terdapat usaha dakwah yang berpusat di Nizamuddin,India,yang membantu para daie dari India Muslim ini ialah sekali lagi...umat Melayu Nusantara tampil sebagai pembantu yang setia kepada agama yang mulia ini.Usaha ini dikatakan lambat diterima oleh umat Arab mungkin kerana polisi Wahabinya yang keras.Namun umat Melayu sekali lagi nampak betapa perlunya membantu rakan-rakan mereka dari India ini untuk sama-sama menyegarkan Islam di hati umat manusia.Firman Allah s.w.t:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran: 104)

Jika kita tidak mampu berdakwah kepada manusia,seperti saya yang lemah iman ini,sekurang-kurangnya kita sokong dan bantu jika ada saudara kita yang mahu  menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar.Maka sebab itu Allah s.w.t menyatakan perlunya ada satu golongan di kalangan kita yang ambil tugas ini walaupun sepatutnya semua orang Islam semestinya menjalankan amal maaruf nahi munkar.Janganlah sampai kita dicatat oleh malaikat sebagai orang yang menghalang agama Allah yang mulia ini.

Saya berdoa supaya Perdana Menteri dan isterinya diberi hidayat oleh Allah s.w.t untuk amal agama dalam hidup.Saya juga berdoa supaya negara ini aman dari fitnah,juga DS Anwar Ibrahim.Hanyasanya orang berjaya dan selamat dunia akhirat ialah orang yang hidup dalam kemuliaan agama.

Berdiri di hadapan makam Syeikh Saifuddin Bokharzi di Bukhara benar-benar menginsafkan.Sekiranya lelaki mulia ini mampu melembutkan hati seorang Khan,malah pemimpin kepada pasukan Mongol yang paling ditakuti seluruh Eropah,Golden Horde,mengapa tidak kita,mampu melembutkan saudara kita yang pekat dengan sekularisme namun masih mengaku Allah s.w.t,Tuhan yang memerintahkan hukum Hudud dan Qisas dilaksanakan di dalam AlQuran.


"Tidak rugi orang yang bermesyuarat & tidak menyesal orang yang istikharah"

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.