Masa Itu Nyawa Pinjaman Allah

Friday, November 11, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Siam Lancang dalam HMM:Realiti atau Fantasi?

AssalamuAlaikum, Salam Sejahtera kepada semua!

Kali ini saya mahu mengajak anda mengkaji lagi rahsia di dalam Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). Mari kita lihat bagaimana 'READ BETWEEN THE LINES' dalam konteks menterjemah maksud tersirat dalam HMM. Di akhir artikel ini anda akan dapati pencerahan secara akademik bagaimana plot yang diambil dari HMM ini sebenarnya adalah bayangan kepada kisah sejarah yang sebenarnya terjadi di Indochina,beribu-ribu tahun dahulu melalui 'cross-reference' dengan riwayat-riwayat asing,catatan atau ulasan dari sejarahwan.Saya akan ajak anda kaji secara akademik dan logik,bukan angguk-angguk cakap wasiat orang mati yang dah ditokok tambah dari mulut ke mulut atau percaya repekan 'pendatangness' yang memang buta sejarah.

 Orang Melayu semenanjung sebenarnya telah lama berada di tanah besar dan bukannya berasal dari Sumatera.Sebahagian besarnya berada di Indochina dan Segenting Kra,melalui negarakota-negarakota mereka (city-states).Orang Melayu yang menubuhkan Langkasuka bukanlah Melayu Sumatera.Langkasuka ada kaitan dengan Funan,dan orang Melayu semenanjung pada zaman purba punya hubungan dengan Khmer,Pyu,Mon,Burma,Dai-Viet dan Tai;satu hubungan istimewa yang tidak dipunyai oleh Melayu Sumatera mahupun Borneo.Sebab itu prasasti-prasasti yang mencatatkan salasilah raja-raja Melayu Indochina ditemui sejauh Vietnam (Prasasti Dong-doung,contohnya),apatah lagi di Kemboja.Sebab itu jika ada orang gila yang mengatakan kepada kita bahawa Melayu berasal dari Sumatera,jangan layan.Sebab kita tahu bahawa Langkasuka dan Tambralinga yang wujud sezaman dengan Funan iaitu lebih kurang 1 Masehi beratus-ratus tahun lamanya sebelum kemunculan Sriwijaya dan Melaka yang seringkali dikaitkan dengan Melayu Sumatera.

Kini para pengkaji telahpun mengesan sejarah awal Sriwijaya di utara semenanjung.

Hikayat Merong Mahawangsa
ini sebenarnya amat penting kerana dapat menyelamatkan kita yang berada di semenanjung ini dari dicap sebagai 'pendatang dari Sumatera'.Sebab itu sebagai usaha untuk menghilangkan jatidiri orang Melayu,hikayat ini pernah diburu untuk dimusnahkan oleh kerajaan Thai dan British.Namun seperti biasa,raja-raja Melayu bijak membuat beberapa salinan dan disebarkan ke beberapa orang.Raja Thai telah membakar naskah HMM manakala British pula merampasnya dan membawanya ke England.Namun hari ini kita masih dapat menatap rahsia dari hikayat ini.Usaha mereka gagal sepenuhnya untuk melenyapkan bangsa Melayu.

 Raja Thai telah hampir mempupuskan orang Mon dan mengecilkan saiz tanah orang Khmer seperti yang kita lihat hari ini.Ketika menawan Segenting Kra dan menjajah Kedah,serta berjaya membakar HMM,raja Thai ketawa besar kerana menyangka telah menakluk seluruh dunia Melayu,seperti mana yang dilakukannya ke atas orang Mon dan Khmer.Namun raja Thai terkejut besar apabila hikayat ini masih wujud dan orang Melayu masih berada di selatan semenanjung,Sumatera,Borneo malah ke Filipina!

Jadi boleh dikatakan bahawa Melayu asal semenanjung kebanyakannya berasal dari Indochina,Segenting Kra hingga ke utara Malaysia.Sebab itu kita lihat orang Kedah dan Kelantan mempunyai 'originaliti' yang ketara terutama dari segi loghat.Orang Melayu Indochina turun ke semenanjung Malaysia setelah ditekan oleh perluasan kuasa oleh Thai dan Dai-Viet.Baca baik-baik ya,Melayu Indochina.Ini kerana di semenanjung,orang Melayu telah ada,kebanyakannya tinggal di pesisir pantai.Saya suka namakan orang Melayu Indochina ini sebagai 'Melayu Darat'.Sebab mereka bina 'city-states' jauh ke darat dan pakar dalam bidang pertanian.Negeri Jelapang Padi di mana?Melaka?Sebab itu Kedah adalah salah satu negeri yang teramat penting.Ini kerana nama purbanya,'Ketah' adalah nama yang tercatat dalam banyak tradisi Khmer purba.Saya telah menjumpainya dan ia benar-benar mengejutkan!

Berbalik kepada HMM,saya ingin fokus kepada pembukaan negeri-negeri Melayu oleh keturunan Merong Mahawangsa.

Saya amat tertarik kepada sebuah negeri yang dibuka jauh ke utara iaitu negeri Siam Lancang.Saya petik dari HMM m/s 49:

"...Maka di situlah sekalian berbuat istana dengan kota parit serta dihimpunkan segala orang yang duduk bertaboran pechah belah itu.Maka di satukan sekaliannya,maka menjadi besarlah.Maka dinamai negeri itu Siam Lancang,tempat membuat kota istana itu.."

Saya 'highlight'kan perkataan 'Siam Lancang',kerana ia adalah perkataan yang sangat penting.Dalam HMM,negeri Siam Lancang dibuka oleh anak Raja Merong Mahapudisat yang tua,bersama-sama Pra Chisim dan isterinya Nang Sutaman,pemerintah rakyat gergasi.Saya tidak pasti apakah 'gergasi' ini,namun di dalam HMM,pengarangnya membezakan bangsa Melayu dengan gergasi ini.Lihat ayat ini pada m/s 47:

"Setelah didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu,"Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari,kita beri ia pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu,setengah kita suroh pergi bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat laut.Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"

Perhatikan nama Pra Chisim dan Nang Sutaman.Yang lelaki memakai pangkal nama Pra manakala isterinya Nang.Pra adalah nama yang juga digunakan oleh orang Khmer merujuk kepada sesuatu yang suci;Preah.Dalam sistem penggelaran Thai terdapat juga perkataan Pra dan ini sudah pasti hasil cedokan dari gelaran Khmer,Preah atau kemungkinan besar dari Melayu Indochina iaitu Prah.

Dalam riwayat Sri Dharmaraja dan beberapa riwayat Khmer lain ada menyebutkan keturunan Sri Dharmaraja (Ligor) yang memakai pangkal nama Nay (Nai) bagi lelaki dan Nan (Nang) bagi perempuan.

Tetapi HMM menyebutkan asal-usul Pra Chisim ialah berbangsa Melayu:

"Adapun Pra Chisim itu anak Melayu.Ia beristerikan Nang Sutaman gergasi.Maka ia beroleh anak saorang laki-laki Parak namanya.."

Maka gelaran 'Pra itu adalah sebutan Siam kepada 'Preah' dalam bahasa Mon-Khmer,berasal dari kata Praoh atau Prahu.Apakah Prahu?Perahu ialah bot orang-orang Melayu!HMM telah mengesahkan bahawa gelaran Pra berasal dari bahasa Melayu dan gelaran raja Melayu Indochina.Lihat,inilah namanya 'cross-reference'.Kajian saya mengenai Raja Parahu yang terpahat namanya di Luxor,Mesir punya kaitan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.Saya tidak perlu mereka-reka cerita dari wasiat orang mati untuk menipu orang ramai,maaf,seperti yang dilakukan oleh saudara Tarmizi dari Blog Kedah Cyber Cadbury.

Saya berpendapat bahawa gergasi adalah satu rumpun lain selain bangsa Melayu.Kemungkinan bangsa Kamboja yang baru bermigrasi dari Asia Tengah atau campuran Khmer-Kamboja.Dalam sejarah Khmer,ada menyebutkan rumpun Kam,satu kaum yang menjadi asas bangsa Khmer.Kam ini berasal dari suku Kamboja atau Saka yang datang dari Asia Tengah,membawa kebudayaan Veda dan Sanskrit.'Gergasi' adalah perlambangan tubuh badan yang besar.Jadi adalah munasabah kaum Kamboja lebih tegap dan besar dari kaum-kaum sebelah timur ini.

Gelaran Nai dan Nang adalah gelaran Melayu dari negeri 'city-states' Tambralinga.Tambralinga adalah nama lama bagi Sri Dharmaraja yang dikenali sebagai Ligor.Nai digunakan bagi lelaki manakala Nang bagi perempuan.Dalam rekod Khmer ia disebut sebagai 'Nay' dan 'Nan'.

Apa yang ingin saya beritahu anda ialah nama Siam Lancang itu.Adakah ia punya 'cross-reference' dengan sumber lain,sebagaimana negeri Langkasuka yang juga disebut dalam rekod China dan India?Dua negeri lain yang dibuka oleh keturunan Merong iaitu Perak dan Kedah juga punya 'cross-reference' dengan sumber lain.Jadi mari dengar ini cerita.

Dalam HMM,perjalanan dari utara semenanjung ke Siam Lancang itu mengambil masa 200 hari perjalanan (berjalan kaki),iaitu kira-kira 6 bulan.Bagi saya adalah munasabah.

Adakah nama Siam Lancang itu hanyalah fantasi?Berita baiknya,tidak.

Di dalam sejarah Indochina pernah berdiri satu kerajaan yang bertempat di Laos kini iaitu kerajaan Lanxang.Sebutan Lanxang dalam sistem sebutan Mandarin (han yu pin yin) ialah 'Lan-chang' bukan 'Lan-zang'.Dalam sejarah kontemporari,kerajaan Lanxang telah ditubuhkan pada tahun 1354 oleh seorang putera raja bernama Fa Ngum.

Lanxang mengikut sejarah Laos adalah bermaksud 'sejuta gajah' (lan=sejuta,Xiang=gajah).

Apakah kaitan Lanxang dengan Siam Lancang dalam HMM?Kaitannya ialah gelaran yang diambil oleh Fa Ngum merujuk kepada kerajaan dan kedaulatannya.Dalam riwayat Lanxang ada menceritakan apabila Fa Ngum mencapai umur 37 tahun,dia diberi gelaran "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud".Gelaran ini sebenarnya sebutan Lao kepada "Pongna Prah Dharnindra Sri Santan Naga Nahud" di dalam bahasa Sanskrit.Apa yang menjadi trivia ialah gelaran "Sri Santan Naga" itu adalah gelaran raja-raja Melayu Champa dan Sri Dharmaraja!

Mengapa Fa Ngum mengambil gelaran raja-raja Melayu?

Sri Santan Naga juga ditulis sebagai Sri Siantan Naga dalam rekod-rekod Khmer dan Vietnam.Pernah dengar mitos Sri Siantan?Syair Siantan?

Penggunaan gelaran raja Melayu ini benar-benar terbukti apabila seorang raja Lao dari keturunan Fa Ngum,Setthathirath telah menggunakan gelaran 'Maulimalayu' ketika mengutus surat kepada raja-raja di sekitarnya.Salah satunya ialah utusan yang dihantar kepada Borommaracha IV,Raja Lovek dari Kemboja terkandung gelaran purba raja Melayu ini yang bermaksud "Mahkota dari orang-orang Mala".

Ini bukan rekaan saya.Anda boleh merujuk kepada buku History of Laos oleh Maha Sila Viravong,juga Le Laos Francaise yang ditulis oleh Eugene Picanon.

Mengapa semua keanehan ini terjadi?Jika raja Laos mengambil gelaran raja Melayu,apa motifnya?Mengapa?

Perkara ini sebenarnya amat memeningkan saya dan ulasan dari sejarahwan Laos dan Khmer juga tidak jelas dan mereka juga berada dalam kekeliruan bagaimana mahu mengaitkan mana-mana sejarah Malaysia atau Indonesia (yang diketahui mereka mewakili 'dunia Melayu') dengan gelaran raja-raja Lao awal ini.

Pada pendapat saya,Fa Ngum telah membina kerajaan Lanxang di atas bekas wilayah Siam Lancang yang disebut dalam HMM.Fa Ngum juga telah mengahwini seorang puteri Khmer dan saya menganggak dari isterinya itulah,Fa Ngum yang berketurunan Tai mempelajari gelaran raja-raja Melayu purba yang ketika itu berpengaruh dalam istana Khmer.Pendapat kedua saya ialah Fa Ngum telah membina Lanxang selepas mengalahkan raja Melayu terakhir di wilayah Siam Lancang itu kemudian menubuhkan kerajaannya sendiri.Ini kerana ketika itu juga kerajaan Sukhotai juga sedang meluaskan pengaruhnya.Seperti biasa,kebudayaan awal negeri-negeri Tai akan meniru atau mengasimilasikan kebudayaan negeri-negeri yang ditakluknya.Untuk mengetahui kebudayaan bangsa Tai yang sebenar,kita boleh lihat budaya sukukaum Zhuang di China dan Shan di Myanmar.Kerajaan Sukhotai juga menjadikan Buddha Theravada sebagai agama rasmi selepas mengimport ramai sami-sami Melayu dari Tambralinga (Sri Dharmaraja) bagi mengajar aliran itu kepada bangsa Tai.Ini samalah juga bagaimana U-Thong,membina kerajaannya di atas wilayah Sri Dharmaraja.Maka saya berpendapat Fa Ngum membina kerajaannya di atas wilayah Siam lancang.

Maka tidak hairan kerajaannya dinamakan sebagai Lancang,berbetulan pula dalam bahasa Tai-Lao bermaksud 'seribu gajah'.Lancang dalam bahasa Melayu bermaksud kenaikan,yang selalunya digunakan untuk kapal dan perahu.Pernah dengar tentang Lancang Kuning?Iaitu bahtera kenaikan sultan Siak dan Melaka.


Dalam syair Siantan ada menceritakan tentang negeri Champa:

"Tinggi-tinggi Gunung Siantan
Dew Perkase Hulubalangnya
Tidak setia kepada Bantan
Negeri Champa Konon asalnye"


Sejarah Kepulauan Riau ada menceritakan tentang lanun-lanun dari negeri Champa menyerang kampung-kampung.Saya lihat ada kaitan dengan 'Siantan' dan 'Champa',sejak seorang raja Champa bernama Simha Jayavarman memakai gelaran 'Sri Siantan'.

Sungguh,sejarah Melayu begitu mengasyikkan!





~Oleh 
Sriwijaya Mala


'Mala Malayu iva malayam raja'
 (ayat ini diambil dari Prasasti Han Chey di Kemboja bertarikh abad ke-6 Masehi,dipahat oleh Bhavavarman II,raja Chenla yang berjaya menakluk seluruh Funan.Ayat di atas bermaksud 'Raja Mala dari Negeri Melayu'.Ini adalah gelaran yang dipakai oleh raja Chenla itu setelah menundukkan Funan,empayar yang terkenal dalam sejarah purba Indochina)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.