Masa Itu Nyawa Pinjaman Allah

Monday, October 10, 2011

Empayar Genghiz Khan Dan Pengajaran

The Legend of “DYNASTY KHAN”
   Pada masa dahulu di sebuah padang rumput steppe,telah lahir seorang bayi lelaki di dalam sebuah khemah.Pada waktu itu cuaca di luar amat sejuk.Tiba-tiba petir sabung menyabung.Semua penghuni khemah (yurt) memekup telinga mereka.Seorang kanak-kanak menangis.Namun bayi itu tidak menangis sedikit pun.Namanya Temudjin.
Temudjin telah membesar menjadi pemuda yang berbakat dalam kepimpinan dan disiplin.Pengaruhnya semakin melebar di kalangan puak-puak Mongol.Selepas mengalahkan Jamukha,iaitu saudaranya dalam satu peperangan,Temudjin telah menjadi 'The Great Khan' bagi seluruh puak-puak Mongol.Beliau telah menyatukan semua puak-puak Mongol ini dan memasukkan mereka ke dalam pasukan berkudanya.Temudjin inilah yang kemudiannya dikenali sebagai Genghiz Khan.

Genghiz Khan mula meluaskan kuasanya ke seluruh Asia Tengah dengan melanggar Kara-Khitan,Kerajaan Khwarezmi di barat Mongolia,Xia Barat dan kerajaan Jin di China.Genghiz Khan pada mulanya tidak berminat untuk menakluk Kerajaan Khwarezmi yang ketika itu diperintah oleh Shah Ala ad-Din Muhammad,beliau berminat untuk menggalakkan rangkaian perdagangan.Untuk itu Genghiz Khan telah menghantar satu karavan yang terdiri dari 500 muslim ke Khwarezmi.Inalchuq,gabenor Otar,sebuah wilayah Khwarezmi telah menahan karavan ini dengan alasan mereka adalah perisik.Genghiz Khan telah menghantar rombongan kedua dan menuntut supaya karavannya dilepaskan dan gabenor Otrar dihukum.Namun Shah Khwarezmi telah membotakkan kepala utusan Mongol dan yang lain dipancung.Ini menyebabkan kemarahan Genghiz Khan yang berpegang pada prinsip bahawa setiap utusan raja mesti dihormati,suci dan tidak boleh diganggu.Pada tahun 1219,tentera Mongol telah melintasi Gunung Tien Shan,menuju ke istana Shah Khwarezmi.

Mula-mula tentera Mongol mencapai Otrar.Dengan kekuatan tentera sebanyak 30000 orang,askar-askar Mongol mengepung kota itu selama 5 bulan sebelum dapat memasuki gerbang kota dan membumihanguskannya.Gabenor Otrar ditangkap dan dihukum mati dengan mencurahkan emas lebur ke dalam mulutnya,sebagai pembalasan akibat perbuatannya menahan karavan Genghiz Khan.Sementara itu gerombolan askar berkuda di bawah pimpinan Jochi,anak sulung Genghiz Khan telah berjaya mengalahkan ketumbukan selatan tentera Khwarezmi dan ini memaksa ketumbukan yang lain berundur.Selepas itu tentera Mongol mara ke arah ibukota empayar Khwarezmi dengan menakluk Bukhara,Samarkand dan Urgench,di mana ibukota empayar Khwarezmi ketika itu terletak di Samarkand.Tentera Mongol sampai di Bukhara dahulu dengan serangan mengejut.Ini menyebabkan Bukhara jatuh ke tangan Mongol dengan mudah.Pada Mac 1220,ibukota empayar Khwarezmi,Samarkand jatuh ke tangan Mongol.Shah meninggal dunia ketika pelariannya ke Laut Kaspia.

       Kejatuhan empayar Khwarezmi membuka jalan terbentang luas ke arah barat.Selepas kematian Genghiz Khan,empayarnya dibahagikan kepada 4 bahagian utama terutamanya selepas kematian Mongke Khan,yang mengakibatkan perang saudara antara Kublai Khan dan Ariq Boke;Dinasti Yuan di China yang juga mengawal Mongolia,Chagatai Khan (Chagatai Khanate) yang meliputi Amu Darya hingga ke pergunungan Altai,Ilkhan (Ilkhanate) yang meliputi Iran,Iraq,Afghanistan,Turkmenistan,Armenia,Azerbaijan,Georgia,Turkey dan barat Pakistan dan yang terakhir apa yang dipanggil sebagai Golden Horde yang menakluk sebahagian besar Eropah Timur dari Ural sampai ke Sungai Danube,melangkaui ke pedalaman Siberia,manakala ke selatan empayar Golden Horde disempadani oleh Laut Hitam,pergunungan Kaukasus hingga bersempadan pula dengan wilayah Ilkhanate,sebuah dinasti Mongol yang lain.Ketika kemuncak penaklukannya,empayar Mongol telah meliputi jarak 9700 kilometer,dengan luas 33,000,000 kilometer persegi iaitu 22 peratus dari keluasan tanah di mukabumi dan memerintah ke atas populasi sebanyak 100 juta manusia.Ia adalah empayar terbesar pernah ada di mukabumi.

Mongol pernah menghantar pasukan tenteranya untuk menakluk Jepun dan Jawa namun gagal,antara sebabnya ialah mereka kurang berkemahiran dalam peperangan laut,sebagai contoh,ramai askar Mongol mati lemas ketika pertempuran di Jepun dan ketika ekspedisi ke Jawa,askar-askar Mongol terperangkap di pedalaman Jawa selepas lari dari pengejaran tentera Raden Wijaya (kemudiannya menubuhkan Majapahit) kerana tidak dapat berlayar balik ke China.Perubahan angin monsun mengelirukan askar Mongol yang buat pertama kali berlayar di Selat Sunda dan Laut China Selatan menggunakan kapal-kapal China.
     
Dalam sejarah China,terdapat dua kali penjajahan bangsa asing ke atas etnik Han.Pertama,bangsa Mongol yang menakluk seluruh China dan menubuhkan Dinasti Yuan.Kedua,orang Manchu yang menewaskan sisa-sisa pemerintahan Dinasti Ming dan kemudiannya menubuhkan Dinasti Qing.Manchu berasal dari suku Jurchen,satu bangsa nomad sebagaimana Mongol.

Dinasti Yuan diasaskan oleh Kublai Khan,cucu Genghiz Khan.Selepas menewaskan Ariq Boke,saudaranya,Kublai Khan menggelarkan dirinya huang di,bermaksud maharaja.Kublai Khan telah melanggar Dinasti Song di selatan China selepas menakluk dinasti-dinasti Xia Xia,Liao dan Jin.Selepas berjaya menewaskan sisa pertahanan Song di Pertempuran Yamen,akhirnya Kublai Khan menjadi emperor seluruh China dan pertama kali bangsa China dijajah oleh satu suku nomad yang dahulunya digelar orang China sebagai orang gasar (barbarian),tidak bertamadun dan dipandang rendah.

Sebagaimana karakter bangsa Mongol dalam peperangan dan penyerbuannya yang melakukan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai (massacre),begitu juga yang dihadapi oleh rakyat China.Mongol telah membumihanguskan kerajaan Jin dan Song serta membunuh dan memperhambakan beribu-ribu rakyat China.Populasi penduduk China telah mengurang separuh secara drastiknya pada 50 tahun pemerintahan Mongol dari kira-kira 120 juta kepada 60 juta sahaja.

      Cabang empayar Mongol yang menuju ke Timur Tengah dengan menakluk ibukota Baghdad yang terkenal itu ialah Ilkhan (Ilkhanate).Ilkhan dipimpin oleh Hulagu Khan,saudara Mongke Khan dan Kublai Khan,dan cucu kepada Genghiz Khan.Tentera Ilkhan telah menggempur kubu kuat Hashshashins,sebuah pergerakan bawah tanah Syiah Ismailiah bermotifkan politik pada tahun 1256.Selepas menakluk Alamut,pertahanan terakhir Hashshashins,Hulagu Khan bergerak ke Baghdad,ibukota Empayar Khilafah Abbasiah.Baghdad telah dikepung dan berjaya ditakluk pada tahun 1258.Terdapat kisah yang popular tentang apa yang berlaku sebelum penaklukan Baghdad oleh Hulagu Khan.


      Hulagu Khan kononnya telah menjemput para ulama Baghdad ke khemahnya untuk satu jamuan yang diadakan di luar benteng kota Baghdad atas nasihat seorang menteri Abbasiah yang belot dan  tamakkan kuasa.Selepas menjamu mereka,tiba-tiba Hulagu Khan bangkit dan ketawa lalu menyatakan bahawa makanan yang dijamu kepada para ulama itu bercampur dengan daging babi dan minuman mereka bercampur dengan arak.Maka doa mereka tidak lagi didengar Tuhan kerana makanan dan minuman dari sumber yang haram.Khalifah terakhir Abbasiah,Al-Mu'tasim ditangkap kemudian dibunuh dengan cara membalutnya dengan permaidani dan dipijak dengan beribu-ribu kuda para askarnya.Cara membunuh sebegini khas untuk raja-raja,khan atau perwira mengikut tradisi Mongol di mana membunuh tanpa menumpahkan darah adalah cara penghormatan.Jamukha,saudara Genghiz Khan yang membelot telah dibunuh dengan mematahkan tulang belakangnya.

         Kejayaan menamatkan usia 500 tahun empayar Bani Abbasiah (Abbasid Caliphate) telah membakar semangat Hulagu Khan untuk mara lebih ke barat,menakluk negeri-negeri Islam sehingga ke Palestin dan Mesir.Hulagu Khan mahu menuju ke Eropah namun ketika itu para pembantunya yang beragama Kristian menasihatkan tidak berbuat demikian.Pada permulaan sejarah Ilkhan menyaksikan pengaruh Yahudi dan Kristian di dalam kerajaan Hulagu Khan.Hulagu Khan dilihat memusuhi Islam dan mahu menghancurkannya.Dalam sejarah Ilkhan,Hulagu telah mengahwini seorang wanita Kristian.Ketika menjarah Baghdad,penduduk yang beragama Kristian dibiarkan hidup atas nasihat isteri Hulagu Khan itu,di mana pada masa yang sama kira-kira 200 000 penduduk Islam dibunuh beramai-ramai.Hulagu Khan kemudiannya menakluk Aleppo (Halab) dan Damsyik (Damascus) di Syria,kemudian menyerbu ke arah Palestin.Namun ketika itu Khan Agung,Mongke diberitakan meninggal dunia.Hulagu terpaksa menarik sebahagian tenteranya dan balik ke Mongolia kerana menjadi tradisi Mongol apabila Khan Agung mati,semua kerabat Genghiz Khan mesti menghadiri kurultai,iaitu perhimpunan untuk melantik 'The Great Khan' yang baru.Anehnya,selepas kematian Hulagu,para pemerintah selepasnya mula terpengaruh dengan budaya Islam,terutamanya Mahmud Ghazan,Khan Ilkhan ke-7 yang memeluk Islam selepas menumbangkan Baidu,Khan Ilkhan sebelumnya.Sebenarnya Khan Ilkhan yang pertama sekali memeluk Islam ialah Teguder iaitu anak Hulagu sendiri dan saudara Abaqa,Khan Ilkhan kedua.Teguder asalnya ialah seorang Kristian Nestorian dengan nama Nicholas namun kemudiannya beliau memeluk Islam dan menukar namanya menjadi Ahmad Teguder.

Buat pertama kali,empayar Ilkhan telah ditukarkan menjadi sebuah kesultanan apabila Teguder naik menjadi Khan ketiga.Teguder sendiri bergelar sebagai Sultan Ahmad.Teguder telah cuba menyebarkan Islam kepada rakyatnya tentang Islam.Beliau juga menggalakkan para pegawainya masuk Islam dan menyebarkannya.Malah Teguder juga berutus surat kepada Sultan Mamluk,musuh ketat dinasti Ilkhan dan meminta damai.Ini menyebabkan satu kemarahan kepada adik beradik dan kaum kerabatnya.Arghun,anak saudaranya yang ketika itu menjadi gabenor Khurasan telah mengadu kepada Maharaja Yuan-China yang juga Khan Agung kepada Empayar Mongol,Kublai Khan perihal keislaman Teguder.Kublai Khan menjadi teramat marah.Arghun mula menyiapkan pasukan tentera yang besar untuk menghukum bapa saudaranya.Menyedari bahaya yang timbul,Teguder meminta bantuan dari Sultan Mamluk.Namun ketika itu hubungan Ilkhan-Mamluk masih belum kukuh dan dalam situasi berhati-hati.Teguder terpaksa menghadapi tentera Arghun seorang diri.Dengan jumlah tentera yang kecil,akhirnya Teguder dikalahkan.Beliau kemudian dihukum mati pada 10 Ogos 1284.

Ketika zaman Mahmud Ghazan,Khan dinasti Ilkhan ke-7,warga Kristian dan Yahudi mula hilang status istimewa mereka malah lebih rendah dari status Muslim dan terpaksa membayar cukai.Penganut Buddha paling teruk ditindas,mereka diberi pilihan sama ada memeluk Islam atau dipaksa atau direndahkan status.Tentera-tentera Mongol mula memeluk Islam terutamanya ketumbukan tentera Tartar.

Berbalik kepada keinginan Hulagu menakluk Mesir dan Syria,tentera Hulagu berterusan dengan kempen penaklukannya ke arah pusat dunia Islam yang terakhir,Mesir yang diperintah oleh Sultan Qutuz dan panglimanya Baibars.Pada tahun 1260,tentera Mesir telah berjaya mengalahkan tentera Mongol di bawah pimpinan Kitbuqa,panglima Hulagu yang beragama Kristian dalam Pertempuran Ain Jalut yang terkenal itu.Pertempuran ini dilihat setaraf dengan  Pertempuran Hittin pada tahun 1187 di mana tentera Salahuddin Al-Ayyubi berjaya mengalahkan tentera Salib.Beribu-ribu tentera Mongol mati dibunuh dan saki-bakinya dikejar oleh askar berkuda Mamluk yang amat terkenal ketangkasannya.Kitbuqa berjaya ditangkap dan dihukum bunuh.Inilah sejarah pertama kali tentera Mongol dikalahkan secara besar-besaran dan panglima tenteranya dibunuh dalam pertempuran.Ini menyebabkan kemarahan Hulagu Khan atas kekalahan yang memalukan ini.Pertempuran ini amat penting kerana selepas itu dinasti Ilkhan mengalami kemunduran dan sedikit demi sedikit dihalau keluar dari Syria oleh Mamluk.


  Selepas kekalahan ini,tentera Mongol dilihat tidak lagi mampu menakluk Syria dan Palestin apatah lagi Mesir.Malahan kerajaan Mesir yang kemudiannya diperintah oleh Baibars menjadi dinasti Mamluk telah menjadi duri dalam daging bagi empayar Ilkhan Mongol itu.Harapan dunia Islam beralih dari Khilafah Abbasiah ke dinasti Mamluk untuk mempertahankan tanah-tanah Islam terutamanya Palestin.Mongol pernah bergabung dengan tentera Salib dalam Perang Salib ke-7 namun gagal mengalahkan kekuatan tentera berkuda Mamluk yang amat sukar untuk ditundukkan.Hulagu mati pada tahun 1265.Tidak banyak yang diketahui sebab-sebab kematiannya.Namun terdapat satu kisah tentang cara kematian Hulagu Khan yang menyebabkan punca tentera-tentera Tartarnya mula memeluk Islam.


Golden Horde



Golden Horde (Ulus of Jochi),salah satu bahagian dari Empayar Mongol berasal dari 2 divisyen tentera Mongol,White Horde yang dipimpin oleh Orda Khan manakala Blue Horde dipimpin oleh Batu Khan,anak sulung kepada Jochi.White Horde dan Blue Horde asalnya merujuk kepada dua sayap tentera Mongol yang menyerang Rusia Selatan dan Eropah Timur yang kemudiannya digelar dalam kesusasteraan Parsi dan Slav sebagai Golden Horde.Sebagaimana gelarannya,pasukan tentera ini banyak bertempur dengan bangsa-bangsa Eropah dan dianggap sebagai pasukan 'Atilla The Hun' yang kedua.Jika kekuatan tentera Ilkhan yang mampu menewaskan pasukan-pasukan legenda Timur Tengah seperti tentera Empayar Abbasiah,gerila berani mati Hashshashins (Assassin) dan dinasti Ayyubbi (ketika ini tidak sekuat era Salahuddin) maka Golden Horde pula dengan senang memukul rata pejuang-pejuang Salib seperti Knight Templar yang terkenal ganas,Hospitaller dan Teutonic.Batu Khan dan panglimanya Subedei memulakan penaklukan dengan Bashkirs dan Volga Bulgaria.Kemudian menyerang padang steppe di Ukraine dan Crimea di mana tempat tinggal suku-suku Tartar.Golden Horde telah menakluk kesemua bangsa Tartar dan merekrut mereka ke dalam gerombolan askar berkuda empayar Mongol.Ketika inilah,bangsa Tartar telah menyertai tentera Monggol dan gabungan inilah yang terkenal sebagai gabungan Monggol-Tartar.

     Gabungan ini kemudiannya menjarah Rus,wilayah yang kini berada di Rusia,membumihanguskan Moscow,meratakan Kolomna,kemudian membumihanguskan Suzdal dan Kiev.Golden Horde kemudiannya melanggar Poland dan Hungary,memusnahkan Pest (sebuah bandar di Hungary),mengepung Vienna serta menundukkan Bulgaria.Mereka juga menyerang Croatia dan Serbia.Dalam pertempuran-pertempuran di Eropah Timur sampai ke tengah benua itu,perwira-perwira Mongol dan Tartar telah menewaskan askar berkuda Hungary,Poland,Bulgaria dan lain-lain,menundukkan tentera Knight Templar,askar-askar upahan seluruh Eropah,Kesatria Armenia,Rusia dan Cossack,tentera-tentera berkuda nomad Rusia,Magyar dan Croat dan pejuang berani mati dari Serbia.
Pertempuran Legnica

Anehnya,walaupun Golden Horde banyak bertempur dan memerintah wilayah-wilayah Kristian,namun akhirnya para Khan Golden Horde memeluk Islam,bukannya Kristian.Malah pengislaman Golden Horde lebih awal berbanding saudaranya Ilkhan yang walaupun memerintah wilayah-wilayah Islam namun agak lambat mencerna kepercayaan mengenal Tuhan yang satu.Berke,Khan keempat Golden Horde mengenal Islam mulai tahun 1257 manakala khan Ilkhan yang pertama memeluk Islam,Teguder mula memeluk Islam sekitar tahun 1282,itu pun dibunuh anak saudara dan kerabatnya.

Diberitakan,Berke mula mencintai Islam setelah bertanyakan tentang kepercayaan para sufi Khwarezmi yang berkafilah dari Bukhara.Berke diIslamkan oleh Saifuddin,darwish dari Khwarezmi,wilayah yang dahulunya sebuah empayar Islam yang musnah digempur Genghiz Khan.

Oleh kerana Golden Horde telah memeluk Islam lebih awal,maka terjadilah konflik antara Golden Horde dengan saudara-saudaranya,terutamanya Ilkhan.Berke telah mengambil keputusan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Mamluk Mesir untuk menentang Ilkhan,saudaranya yang masih kafir walaupun duduk di sekeliling budaya Islam.


Sebenarnya Berke pernah menulis sebuah surat kepada Khan Agung,Mongke Khan,berkenaan perilaku tidak berperikemanusiaan Hulahu Khan ke atas umat Islam terutamanya ketika penaklukan Baghdad.Berke berasa simpati dengan Islam dan tersentuh dengan kekejaman Mongol ketika menjarah Baghdad.Namun,ketika suratnya sampai ke Karakorum,Mongke Khan sebenarnya telah meninggal dunia di China.Ketika Pertempuran Ain Jalut,Berke telah menyertai Mamluk untuk membantu menewaskan tentera Hulagu Khan di bawah pimpinan Kitbuqa.Inilah perang saudara antara Golden Horde dan Ilkhan,dua kerajaan Mongol yang paling berpengaruh dalam sejarah Empayar Mongol.Ketika Empayar Byzantin (kemudiannya ditakluk oleh Muhammad Al-Fatih dari Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1453) menangkap delegasi dari Mesir,Berke mengarahkan Bulgaria (negara bawahannya) supaya menghantar tentera untuk melepaskan rombongan Mesir itu.Golden Horde berterusan menjadi seteru Ilkhan bersama-sama kerajaan Mamluk yang masih belum mampu dikalahkan.


Apa yang terjadi selepas itu adalah kuasa Allah Yang Maha Berkuasa.Ilkhan kemudiannya menjadikan Islam sebagai agama rasmi selepas pengislaman Mahmud Ghazan walaupun masih berseteru dengan Mamluk dan Golden Horde.Golden Horde pula selepas perpecahannya,memunculkan banyak kerajaan-kerajaan Khan kecil seperti Crimea,Kazakh dan Uzbek.Perpecahan Ilkhan pula mengembalikan wilayah-wilayah Islam kepada orang Parsi dan Arab setelah beberapa generasi bangsa Mongol dan Tartar terserap ke dalam bangsa-bangsa Islam.Maka terjadilah apa yang kita saksikan seperti hari ini;negara-negara atau wilayah seperti Uzbekistan,Kyrgystan,Kazakhtan,Turkistan,Tajikistan,Bosnia,Crimea,Chechya,Uyghur dan dinasti Moghul di India yang banyak berperanan mengislamkan India Utara adalah kesan dari kisah empayar Mongol yang penuh suka duka ini.

Banyak moral atau pengajaran dari kisah empayar Mongol ini.Empayar Abbasiah jatuh disebabkan banyak penyelewengan dan jauh dari agama Islam.Fitnah berleluasa di sana-sini.Rasuah dan cintakan dunia makin meresap ke dalam hati para atasan kerajaan.Ketika itu negeri-negeri Islam di bawah empayar ini adalah yang paling kaya,namun semakin jauh dari hidayat ilahi.Semangat jihad mempertahankan Islam sudah semakin jauh di dalam hati para perwira,kerana dilemahkan oleh harta benda yang berlimpah ruah.Bagaimana tentera Mamluk boleh mengalahkan askar-askar Mongol padahal ketika itu hanya Mesir sahaja yang menghadapi Mongol,ketika serangan ke atas empayar Abbasiah,khalifah mengarahkan seluruh tentera empayar menghalang kemaraan Mongol?





PENGKHIANATAN

Kunci pertama ialah PENGKHIANATAN DARI DALAM.Seorang wazir khalifah telah memberitahu bahawa Hulagu bersetuju mengahwinkan anaknya dengan Abu Bakr,putera khalifah.Ketika pintu kota dibuka untuk upacara sambutan perkahwinan,dengan para utusan peminangan membawa pelbagai hantaran dan hadiah yang mahal-mahal berjalan ke luar kota,namun alangkah terkejutnya mereka apabila apa yang dilihat mereka di luar bukanlah sambutan meriah dari pihak Mongol tetapi barisan gerombolan tentera Hulagu Khan yang bersedia untuk menyerang.Semua utusan peminangan dibunuh,dan kemaraan tentera Mongol tidak boleh ditahan lagi,terus menggempur masuk ke dalam kota.

Inilah juga faktor utama kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.Juga kejatuhan Vijaya,sebuah kota Champa ke tangan Dai Viet disebabkan pembelotan menteri Champa.Juga kejatuhan Pattani disebabkan pembelotan seorang pegawai Sultan Pattani.Pengkhianatan adalah racun paling dasyat dalam negara.Jika terdapat pilihan untuk menghukum dua orang;seorang panglima tentera musuh dan seorang ialah menteri yang khianat,maka sang menteri itulah yang patut dihukum terlebih dahulu.

Faktor kedua adalah amalan agama.Sultan Qutuz sebelum menggerakkan pasukannya,beliau bangun malam bertahajud sambil berdoa kepada Allah s.w.t.Muhammad Al-Fatih ketika menjelang penaklukan Constatinople,pada malam sebelum serangan,memerhatikan khemah-khemah para askarnya.Beliau memerhatikan siapa di antara para askarnya yang bangun malam.Pada keesokkan harinya beliau memilih hanya yang bangun malam bertahajud sahaja yang ikut serta menyertai menakluk Constatinople.Di dalam rekod Turki,terdapat kira-kira 80000 tentera Turki Uthmaniyyah semasa penaklukan itu manakala dalam rekod Barat terdapat 160000 hingga 300000 tentera.Bayangkan,ini bermakna jumlah itulah yang bangun bertahajud pada malam sebelum serangan.Muhammad Al-Fatih sendiri sejak kecil tidak pernah meninggalkan solat tahajud!Sebab itu dalam hadis nabi s.a.w ada menyatakan:

“Sesungguhnya Constantinople itu akan jatuh. Pemimpinnya adalah pemimpin yang terbaik dan tenteranya adalah yang tentera terbaik”

Jika kita mula meninggalkan atau mengabaikan urusan agama,tunggulah...Allah s.w.t akan menggantikan kita dengan satu kaum yang lebih baik dari kita.Penggantian itu tertakluk kepada Allah s.w.t,sama ada secara kasar seperti yang dihadapi oleh bangsa Arab ketika kejatuhan empayar Abbasiah,ataupun secara halus,seperti pengislaman beramai-ramai umat Melayu Nusantara.


"....Dan jika kamu berpaling tadah, maka Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain daripada kamu dan kaum itu tidak seperti kamu.”
(Muhammad: 38)


Jika kita lihat dipermulaan kisah Empayar Mongol,mereka amat ganas kepada orang Islam,membunuh dan menjarah kota-kota Islam.Namun diakhir cerita,mereka menjadi lembut dan terpesona dengan Islam dan akhirnya menjadi pengikut agama Islam yang taat dan sanggup berperang bermati-matian demi meluaskan Islam.Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa makhluk langsung tiada kuasa.Apa yang terjadi semata-mata hanya dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.